BERITA SEMASA

Pusat Maklumat CIDBH dilancar di Shanghai, perkukuh hubungan industri pembinaan Malaysia dengan China

SHANGHAI, China — Menara Asia Sdn Bhd dengan kerjasama CIDB Holdings Sdn Bhd hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran rasmi Pusat Maklumat CIDBH di sini yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut CIDB Holdings dalam satu kenyataan, penubuhan pusat itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama industri dengan China, khususnya dalam sektor pembinaan dan bahan binaan.

Katanya, sebagai pusat pertama yang bersekutu dengan CIDB di luar Malaysia, ia berperanan sebagai pusat rujukan rasmi serta hab fasilitasi bagi eksport produk pembinaan ke Malaysia, memastikan pematuhan kepada keperluan Sijil Analisis (COA) dan Sijil Pematuhan Piawaian (PPS).

“Terletak strategik di Shanghai, antara pusat industri dan logistik utama dunia, Pusat Maklumat CIDBH berfungsi sebagai kemudahan sehenti yang menawarkan sokongan pensijilan terus untuk bahan dan sistem pembinaan yang bakal dieksport ke Malaysia.

“Ia turut menyediakan panduan teknikal dan peraturan selaras dengan piawaian keselamatan dan kualiti CIDB Malaysia, serta bantuan dalam dokumentasi, ujian dan pengesahan digital melalui platform pensijilan nasional Malaysia,” katanya hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Pusat Maklumat CIDBH di Shanghai, China hari ini.

Katanya, inisiatif itu dijangka meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keyakinan pengeluar serta pembekal antarabangsa dari China, membolehkan proses penilaian dan pematuhan dilaksanakan sebelum penghantaran sekaligus mengurangkan kelewatan dan kos di pintu masuk Malaysia.

Dalam pada itu Ahmad Zahid dalam ucapannya menyifatkan pelancaran itu sebagai langkah strategik yang memperkukuh integriti industri pembinaan Malaysia sambil memperdalam hubungan dengan salah satu rakan terpenting di Asia.

Beliau turut menegaskan bahawa pusat itu mencerminkan usaha proaktif Malaysia dalam memperluas kerjasama antarabangsa berasaskan inovasi dan pembangunan berpaksikan piawaian, selaras dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Pusat Maklumat CIDBH di Shanghai, China hari ini.

“Shanghai ialah jambatan Malaysia ke arah jaringan kerjasama serantau yang lebih meluas, kita memimpin melalui piawaian, bukan sekadar mengikut aliran import.

“Pusat Maklumat CIDBH akan menjadi asas kepada pertumbuhan, inovasi dan kemakmuran bersama,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa rancangan sedang digerakkan untuk menubuhkan Pusat Maklumat CIDBH seterusnya di Beijing, sebagai langkah memperkukuh lagi hubungan Malaysia–China dalam sektor pembinaan.

Sementara itu Pengerusi CIDB Malaysia, Datuk Ir Yusuf Abd Wahab berkata, kerjasama antara CIDB Holdings dan Menara Asia adalah sebahagian daripada misi Malaysia untuk mendigitalkan sistem pensijilan dan memperkukuh akses pasaran global bagi produk pembinaan tempatan.

“Kerjasama ini menunjukkan pendekatan berpandangan jauh Malaysia dalam membawa proses pensijilan dan pematuhan lebih hampir ke pusat pengeluaran global sekali gus meningkatkan kecekapan, kebolehcapaian, dan keyakinan antarabangsa terhadap rantaian bekalan pembinaan negara,” katanya.

Usaha itu juga melengkapi Platform Digital ASSURE yang diperkenalkan oleh CIDB Holdings pada tahun 2023, yang membolehkan penjejakan masa nyata bagi permohonan COA dan PPS, serta menyediakan keteresanan digital menyeluruh untuk pengeluar Malaysia dan antarabangsa.

Sehingga kini, lebih 350 syarikat termasuk dari China telah berdaftar di platform tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button