BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump umum penempatan tentera simpanan kawal ketegangan imigresen

LOS ANGELES – Susulan rusuhan berkaitan imigresen, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengarahkan penempatan 2,000 anggota Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles semalam.

Menurut Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, keputusan itu dibuat bagi menangani pelanggaran undang-undang yang dikatakan semakin tidak terkawal di beberapa kawasan utama di bandar raya itu.

“Presiden telah menandatangani Memorandum Presiden untuk mengerah anggota Pengawal Kebangsaan dalam usaha mengembalikan ketenteraman awam yang tergugat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pentadbiran Trump mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman terhadap penguat kuasa undang-undang.

“Sebarang perbuatan jenayah mensasarkan pegawai yang sedang menjalankan tugas tidak akan dikompromi. Tindakan keras akan diambil tanpa ragu,” ujarnya.

Tindakan itu diambil berikutan dua hari berlakunya demonstrasi tegang di kawasan Paramount, yang majoriti penduduknya berasal dari komuniti Latin.

Ejen persekutuan dilaporkan melepaskan bom gegaran dan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai yang marah dengan penahanan besar-besaran pendatang tanpa izin.

Rakaman yang tular di media sosial memperlihatkan suasana tegang, termasuk insiden sebuah kenderaan dibakar di persimpangan utama serta aksi seorang lelaki bertopi keledar melempar batu ke arah kenderaan agensi persekutuan.

Dalam insiden berasingan, beberapa penunjuk perasaan dilaporkan bertindak agresif dengan melontar bunga api ke arah pasukan keselamatan tempatan yang sedang berkawal.

Mengulas situasi yang semakin meruncing, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth memberi peringatan pihak tentera digerakkan jika kekacauan terus berlanjutan.

“Pasukan marin yang ditempatkan di Kem Pendleton berada dalam keadaan bersiap siaga dan sedia dikerahkan sekiranya perlu,” katanya menerusi satu hantaran di platform media sosial.

Kekecohan itu dipercayai berpunca daripada serbuan agresif oleh ejen imigresen bersenjata ke atas beberapa premis pekerjaan di sekitar Los Angeles, yang mencetuskan reaksi marah dalam kalangan penduduk serta pertempuran berjam-jam di jalanan.

Los Angeles dikenali sebagai salah satu bandar raya paling pelbagai kaum di Amerika Syarikat, dengan data Banci AS menunjukkan komuniti Hispanik atau Latin membentuk lebih 80 peratus daripada populasi di kawasan Paramount.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button