BERITA SEMASA

Program Satelit Komuniti MADANI 2026 beri manfaat kepada 120 KRT di seluruh negara

IPOH – Sebanyak RM600,000 diperuntukkan kepada 120 buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara bagi melaksanakan aktiviti di bawah Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI Tahun 2026.

Majlis penyerahan cek program itu disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, hari ini.

Aaron berkata, bagi bandar Ipoh, sebanyak 10 KRT menerima peruntukan masing-masing RM5,000.

“Program Satelit Komuniti MADANI merupakan inisiatif di bawah Program MADANI Rakyat (PMR) dengan penyertaan lebih tujuh agensi kerajaan utama termasuk Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

“Program ini menumpukan usaha memperkukuh perpaduan, kesejahteraan sosial, dan pembangunan komuniti secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tahun ini, program tersebut akan dilaksanakan di 15 lokasi luar tapak PMR, berbanding 10 lokasi pada 2025, dengan pendekatan yang diharap dapat memperluas capaian dan memastikan impak positif dirasai di peringkat akar umbi.

“KPN yakin program ini dilaksanakan tepat pada masanya kerana selari dengan program teras Komuniti MADANI, salah satu kluster utama KPN bagi tahun 2026, yang bertujuan memperkukuh semangat kejiranan dan kebersamaan dalam masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, sokongan dan kerjasama semua pihak, komuniti mampu menjadi ejen perubahan yang membina masyarakat harmoni, inklusif, dan sejahtera.

“Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, KPN komited memperkasa KRT melalui kaedah dan pendekatan baharu yang lebih dinamik, lestari serta mampu menjadikan KRT pemangkin perpaduan di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button