Program Megaraya Lemang Bagus 2025 rai komuniti, catat jualan 39,000 batang lemang
SEPANG – Program Megaraya Lemang Bagus 2025 yang dianjurkan sempena sambutan Aidilfitri di sini hari ini, berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung dari sekitar DUN Sungai Pelek dan Parlimen Sepang.
Ia sekali gus menjadi wadah perpaduan komuniti serta platform keusahawanan tempatan yang berimpak.
Pengasas Lemang Bagus, Muhammad Hydier Hamid berkata, program itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek dan Parlimen Sepang.

“Tahun ini kita sasarkan jualan sebanyak 35,000 batang lemang. Alhamdulillah, kita berjaya mencapai 39,000.
“Tahun lalu, sasaran 30,000 lemang juga melepasi jangkaan dengan jualan mencecah 33,000,” kata beliau ketika ditemui di majlis tersebut.
Menurut beliau, apa yang lebih membanggakan, Lemang Bagus kini turut berada di awan biru melalui kerjasama dengan penerbangan Malaysia Airlines.
Tambahnya, jenama itu bukan sekadar produk makanan tradisional tempatan, malah menjadi sumber dana utama bagi pelbagai inisiatif kebajikan.

“Hasil pendapatan jualan digunakan untuk membeli peralatan seperti katil hospital, van jenazah, kerusi roda, set kain kafan serta keperluan Hari Raya termasuk pakaian dan bakul makanan untuk golongan memerlukan.
“Agihan keseluruhan hasil jualan Lemang Bagus tahun ini mencecah hampir RM100,000 termasuk duit raya untuk komuniti setempat,” jelas Muhammad Hydier yang juga merupakan Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Sepang.
Sepanjang beroperasi pada Ramadan dan Syawal lalu, lebih 80 kakitangan daripada tiga jabatan terlibat dalam menjayakan operasi Lemang Bagus kali ini.
“Mereka terdiri daripada Persatuan Belia Gugusan Salak yang membantu proses dari awal penyediaan hingga lemang dijual,” ujarnya.

Ujarnya lagi, jenama Lemang Bagus kini sedang melalui proses penjenamaan semula sebagai langkah awal ke arah pengkomersialan di peringkat antarabangsa.
Majlis Megaraya itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, persembahan kanak-kanak dan artis jemputan, Daniel Ismail.
Selain itu, acara simbolik penyerahan van jenazah, katil hospital, kerusi roda dan set kain kafan kepada komuniti turut berlangsung dalam suasana penuh keinsafan dan kebersamaan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha pembangunan belia dan kebajikan komuniti seperti ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
