BERITA SEMASAPOLITIK

PRK Kinabatangan, Lamag: Suasana tenang, pengundi hadir awal di SK Bilit

KINABATANGAN – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bermula dalam suasana tenang dan teratur dengan pengundi mula hadir di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Bilit yang dibuka secara rasmi pada pukul 7.30 pagi.

Cuaca cerah sepanjang pagi turut menyumbang kepada kelancaran proses pengundian sekali gus memberi keselesaan kepada para pengundi yang hadir termasuk mereka yang terpaksa menempuh perjalanan melebihi dua jam, antaranya dari Sandakan semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelihatan bersiap sedia di setiap saluran mengundi bagi membantu pengundi serta memastikan perjalanan proses pengundian berjalan lancar dan teratur, memetik laporan BH Online.

PRK Kinabatangan
Kakitangan SPR membantu pengundi warga emas di pusat mengundi SK Bilit.

Proses pengundian dijangka berterusan sehingga waktu penutupan pusat mengundi yang ditetapkan pada pukul 1 tengah hari.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Kurniawan Naim Moktar turut dijadualkan menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian tersebut.

SK Bilit merupakan antara 25 pusat pengundian daripada keseluruhan 36 pusat pengundian di Parlimen Kinabatangan yang dijangka ditutup lebih awal.

Seramai 48,526 pengundi Parlimen Kinabatangan dan 13,703 pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dijangka keluar mengundi hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu masing-masing.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, pertandingan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (bebas).

Sementara itu, bagi kerusi DUN Lamag, pertandingan berlangsung secara satu lawan satu melibatkan Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button