BERITA SEMASAPOLITIK

Wanita UMNO Negeri Sembilan desak Pemuda PAS Maran tarik kenyataan hina wanita, buat permohonan maaf rasmi

SEREMBAN – Wanita UMNO Negeri Sembilan menggesa Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Salman Al Farisi menarik semula kenyataannya yang menyamakan peranan wanita dalam kepimpinan dengan tingkah laku haiwan, selain membuat permohonan maaf secara rasmi kepada seluruh wanita di negara ini.

Ketua Wanitanya, Puan Sri Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, kenyataan itu amat tidak wajar, tidak beradab dan bertentangan dengan nilai masyarakat bertamadun yang menjunjung prinsip kesaksamaan, kehormatan dan integriti dalam ruang demokrasi.

“Menyamakan wanita dengan lembu bukan sahaja memperlekehkan kaum wanita, malah satu bentuk penghinaan kepada golongan yang telah menyumbang besar kepada pembangunan negara.

“Ia mencerminkan pemikiran patriarki dan seksis yang tidak boleh diterima dalam konteks Malaysia moden, inklusif dan progresif,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Beliau menegaskan bahawa wanita merangkumi 50.3 peratus daripada populasi negara dengan peranan meliputi ibu, pendidik, penjaga keluarga, pembuat dasar, pemimpin masyarakat, ahli akademik, ahli perniagaan dan pemimpin politik.

Bibi Sharliza turut menggariskan empat tuntutan utama iaitu Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran perlu menarik balik kenyataan secara terbuka dan memohon maaf kepada seluruh wanita di Malaysia.

Poster yang dimuat naik di Facebook UMNO Negeri Sembilan.

Selain itu, pimpinan tertinggi PAS diminta menjelaskan pendirian rasmi parti terhadap kenyataan tersebut dan menggesa wakil rakyat wanita PAS tidak berdiam diri serta menyatakan pendirian mereka berhubung penghinaan tersebut.

“UMNO khususnya Wanita UMNO akan terus memperjuangkan hak dan maruah wanita serta memastikan mereka diberi peluang memimpin dan membuat keputusan di pelbagai peringkat,” tegasnya.

Menurut beliau, Wanita UMNO Negeri Sembilan menolak sebarang bentuk politik berunsur penghinaan, diskriminasi dan seksisme sambil menegaskan bahawa martabat wanita mesti dihormati oleh semua pihak.

“Wanita bukan bahan jenaka atau perbandingan yang memperlekehkan. Wanita adalah pemimpin, pendukung negara dan sumber kekuatan masyarakat,” tegas Bibi Sharliza.

Terdahulu, media melaporkan Salman membuat kenyataan membandingkan lelaki dengan lembu jantan dan wanita dengan lembu betina bagi menegaskan kepentingan lelaki menjadi pemimpin.

Kenyataan itu dibuat berdasarkan pengalamannya menternak haiwan.

Beliau mendakwa, lazimnya seekor lembu betina yang akan ‘menentukan segalanya’, manakala lembu jantan hanya bertugas melindungi kumpulannya.

“Sebab itulah, kalau boleh kita jangan jadi seperti lembu yang mengangkat ‘betina’ sebagai ketua. Lelaki sepatutnya menjadi ketua dan seiringan dengan ayat al Quran dalam surah an-Nisa ayat 34,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button