
WAF digesa minta maaf bagi pihak Presiden BERSATU
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal digesa memohon maaf bagi pihak presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan membuat kenyataan menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja) baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar berkata, tindakan Wan Fayhsal yang menyalahkan portal Suara Keadilan dalam isu itu adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kesilapan yang dilakukan oleh Presiden Bersatu.
“Jelas Tan Sri Muhyiddin bukan sekadar menyatakan fakta seperti yang didakwa tetapi sebenarnya mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, keputusan melantik Perdana Menteri selepas PRU15 telah mengambil kira undang-undang anti lompat parti yang berkuat kuasa, serta perjanjian antara parti dan Ahli Parlimen mengenai sokongan en bloc.
“BERSATU telah lama merosakkan demokrasi negara ini bermula dengan Langkah Sheraton yang mengakibatkan kerosakan pada kerangka undang-undang anti lompat parti yang diluluskan pada 2022,” katanya lagi.
Haziq turut berkata, BERSATU kini cuba berlagak seperti mangsa apabila tidak lagi boleh mengubah sokongan Ahli Parlimen.
Beliau turut menggesa Wan Fayhsal supaya memberi contoh yang baik kepada anak muda dengan memohon maaf bagi pihak presiden BERSATU dan bukan mempertahankan tindakan yang terang-terang salah.
Muhuyiddin sebelum ini dikatakan telah membuat kenyataan yang menyentuh isu 3R dalam ceramah politik semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Beliau dikatakan dengan sini mempertikaikan keputusan bekas Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam melantik Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






