UMNO tidak takut bertanding dalam PRK – Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan dakwaan parti itu takut untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) sekiranya enam kerusi bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dikosongkan.
Ahmad Zahid berkata, dakwaan pembangkang yang mengatakan UMNO tidak yakin akan memenangi PRK tidak berasas kerana kesemua kerusi yang dimaksudkan dahulunya milik UMNO.
“Dalam politik mana boleh takut nak bertanding,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan pembangkang sekiranya Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kekosongan di enam kerusi milik ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Bagaimanapun, pada Selasa lalu, Johari dalam keputusannya mengumumkan tidak berlaku kekosongan di semua kerusi berkenaan berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








