
UMNO, PAS berhimpun untuk Najib: Solidariti atau permainan politik?
KUALA LUMPUR – Isu titah Adendum untuk tahanan dalam rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terus mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk usaha menganjurkan perhimpunan besar-besaran yang dirancang di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada 6 Januari nanti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi berkata, langkah Pas untuk menghimpunkan ahli mereka tidak lebih daripada strategi politik yang tidak langsung menggugat UMNO.
“Kalau PAS mahu main politik, biarkan. Namun, jangan lupa, pihak yang menyebabkan titah adendum ini tertangguh selama setahun juga kuat bermain politik,” katanya pada satu hantaran di laman Facebook.
Menurut beliau, UMNO telah merancang perhimpunan itu lebih awal dan menjangkakan kehadiran 15,000 ahli berpakaian merah.
“UUMNO akan berhimpun secara aman dan mematuhi undang-undang. Kita telah berbincang dengan pihak berkuasa, tidak akan ada kerosakan seperti yang berlaku semasa perhimpunan Bersih dahulu,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular sepucuk surat arahan PAS yang menggesa ahli-ahlinya turun berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Najib dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum tahanan rumah.
Surat bertarikh 6 Januari itu, yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyeru ahli PAS dari Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya mulai pukul 9 pagi.
Menurut Takiyuddin, himpunan tersebut bertujuan menunjukkan solidariti terhadap Najib yang kini sedang berjuang dalam kes rayuan tersebut.
Puad turut membidas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang meminta ahli PKR untuk tidak menyertai perhimpunan itu.
“Tahulah UMNO urus sendiri. Kalau PAS dapat kumpul 10,000 ahli, baguslah. Itu tanda Najib masih punya aura, termasuk dalam kalangan ahli PAS. Kalau ada 100 ahli PKR, DAP dan BERSATU hadir, ia sudah menggemparkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Puad menegaskan bahawa solidariti UMNO kepada Najib adalah ikhlas dan tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Populariti Najib digeruni, sebab itu ada yang ikhlas dan ada yang mahu mempolitikkan isu ini ikut nafsu masing-masing. Namun, Umno tetap bersolidariti dengan Najib,” tegasnya.
UMNO memberi jaminan bahawa perhimpunan ini akan berlangsung secara aman, mematuhi undang-undang, dan tidak akan menimbulkan sebarang kerosakan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








