BERITA SEMASAPOLITIK

UMNO Negeri Sembilan tolak naratif parti itu ‘mensucikan’ DAP

SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan merupakan satu bentuk usaha untuk ‘mensucikan’ DAP.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, naratif tidak bertanggungjawab yang dimainkan oleh pihak tertentu itu adalah cubaan murahan untuk melemahkan perpaduan dalam kerajaan serta memecah-belahkan kesatuan dalam kalangan rakyat.

Tegas beliau, UMNO tidak pernah menafikan sejarah perbezaan pendirian dan pertentangan ideologi dengan DAP namun mengambil pendirian realistik dalam menghadapi tuntutan semasa.

“Politik tidak kaku. Ia berkembang mengikut keperluan rakyat dan negara.

“Keputusan UMNO untuk menyertai Kerajaan Perpaduan adalah demi menyelamatkan Malaysia daripada krisis lebih besar seperti ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa penyertaan UMNO dalam kerajaan bukan bermakna parti itu tunduk kepada DAP, sebaliknya langkah itu diambil bagi memastikan suara Melayu-Islam terus didengar dan diperkasakan dalam dasar pentadbiran negara.

“Kita tidak pernah mengangkat DAP sebagai pembela agenda Melayu atau Islam. Kita berada dalam kerajaan kerana tanggungjawab untuk mempertahankan hak bangsa dan agama,” ujar Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pertang itu.

Jalaluddin turut memuji keberanian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan parti yang menurut beliau telah membawa UMNO kembali ke arus perdana demi kestabilan negara, bukan kerana nafsu kuasa.

Justeru, beliau turut mencabar pihak yang masih terperangkap dengan politik kebencian agar menilai semula pendekatan mereka.

“Sampai bila kita mahu terus bermain dengan retorik lapuk? Jika benar kita memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, maka tempat terbaik untuk berbakti adalah dalam kerajaan, bukan dari luar sambil membaling tuduhan,” katanya tegas.

Ujarnya, UMNO Negeri Sembilan akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dan komited memperjuangkan hak rakyat dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita tidak akan gentar dengan tekanan politik. Kita tidak tunduk. Kita memimpin perubahan,” tegas beliau.

 

 

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button