POLITIK

UMNO Muara Sri Krubong biadab, sebarkan fitnah – AMK Hang Tuah Jaya

MELAKA – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hang Tuah Jaya, Ezal Abdul Qaiyum Zamri menegur keras tindakan sebuah cawangan UMNO yang didakwanya menyebarkan tohmahan dan maklumat palsu dalam sebuah video tular baru-baru ini.

Menurut beliau, video berkenaan memuatkan kenyataan fitnah terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, selain dakwaan tidak berasas terhadap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

“Ada dakwaan dalam video itu menyebut ‘dua-dua manusia ni kita tak suka… mereka ni perosak kepada generasi kita yang dulu’. Ini bukan sahaja satu fitnah jahat, tetapi mencerminkan mentaliti politik lama yang memecah belah rakyat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Ezal menegaskan bahawa tindakan menyebarkan kebencian sebegini amat tidak bertanggungjawab dan menyeru UMNO Cawangan Muara Sri Krubong agar tampil memohon maaf secara terbuka.

“Kegagalan mereka berbuat demikian hanya mengesahkan keangkuhan dan kebaculan mereka dalam berpolitik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ezal turut menafikan dakwaan bahawa Adam Adli tidak menamatkan pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) seperti yang disebut dalam video tersebut.

“Kenyataan ini berniat jahat dan tidak berlandaskan fakta. Untuk makluman, Adam Adli telah berjaya menamatkan pengajiannya di UPSI pada tahun 2020. Fakta ini boleh disahkan dengan mudah,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar menjaga adab dalam berpolitik dan tidak merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan hanya kerana perbezaan pendapat.

“Rakyat sudah penat dengan mainan politik sempit dan tohmahan tidak berasas.

“Tunjukkan kematangan, utamakan kesejahteraan rakyat dan hentikan budaya menyebar fitnah,” katanya lagi.

Ezal turut menyeru agar semua pihak menyemak fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan, selain mengutamakan kesatuan rakyat berbanding kepentingan politik sempit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button