UMNO mahu kouta tujuh menteri parti itu dikembalikan
KUALA LUMPUR – UMNO menyuarakan harapan agar Kerajaan Perpaduan mengembalikan semula satu jawatan menteri kepada parti itu bagi melengkapkan semula kuota tujuh menteri seperti yang diperuntukkan sebelum ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini UMNO hanya mempunyai enam menteri susulan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak lagi bersama parti tersebut.
“Sekarang UMNO hanya tinggal enam menteri. Jika kuasa pelantikan menteri sepenuhnya berada di tangan Perdana Menteri dan dengan pengesahan bahawa Tengku Zafrul kini di luar UMNO, maka adalah wajar satu kekosongan menteri penuh diberikan semula kepada UMNO bagi mencukupkan kuota tujuh yang asal,” jelas beliau.
Mengimbas kembali pelantikan Tengku Zafrul, Ahmad Zahid berkata, ketika beliau mula dilantik sebagai menteri kewangan pada 2020 di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelantikan itu tidak dibuat atas kapasiti mewakili UMNO.
Namun begitu, selepas perubahan kerajaan dan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob — yang merupakan Naib Presiden UMNO ketika itu — sebagai Perdana Menteri, kedudukan Tengku Zafrul dilihat seolah-olah mewakili UMNO dalam kabinet.
“Walaupun kita tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul dibuat atas tiket UMNO, kita beranggapan ia begitu kerana beliau sendiri pernah mendakwa menjadi ahli UMNO Lembah Pantai sejak 1997,” kata Zahid lagi.
Dengan perkembangan terbaru ini, UMNO berharap agar kepimpinan kerajaan mempertimbangkan semula kuota yang seimbang dan mencerminkan sumbangan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








