POLITIK

Turunkan ego, bersemuka secara baik dengan siswa UMS – tegur Dr Maszlee kepada AMK

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa supaya barisan pemimpin Angkatan Muda Keadilam (AMK) tidak hanya mengecam tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya bersemuka untuk menjelaskan keadaan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, mahasiwa tersebut perlu diberi bimbingan dan tunjuk ajar supaya mereka memahami dengan jelas dasar dan visi yang dibawa oleh Perdana Menteri.

“Kepada para pemimpin AMK dan mantan AMK yang pernah bergelumang dengan demo dan aktivisme, jangan kita lupakan sejarah kita, akar kita, dan pengalaman yang kita pernah lalui.

“Bebudak bako-bako (bakar) ini perlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Pandangan saya, pimpinan AMK dan mantan aktivis, pergilah berjumpa dengan siswa bako-bako ni. Jumpa mereka bersemuka.

“Bincang apa yang mereka salah faham dan apa yang mereka mahu. Turunkan ego kita untuk kita tundukkan ego mereka. Kita semua hanya mahukan yang terbaik untuk negara dan warga,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman media sosialnya hari ini.

Maszlee berkata, beliau juga pernah berhadapan situasi sama ketika menjawat jawatan sebagai menteri dahulu dan kini pemimpin berkenaan telah menyertai PKR.

“Saya pernah lakukan sewaktu saya menteri dahulu. Alhamdulillah kepala demonstran waktu itu, kini telah menjadi Ketua Keadilan Cabang Batu. Tahniah!

“Kepada siswa bako-bako, pakcik Maszlee bersedia untuk berjumpa anda semua di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), hatta di asrama anda sekalipun. Pakcik yakin banyak benda kita boleh bertukar pandangan meskipun pakcik bukan sesiapa dan tiada jawatan apa-apa pun.

“Pakcik pernah muda, pakcik juga hidup dengan idealisme, dan pakcik juga pernah melakukan khilaf. Itu adat dan resmi manusia. Anda hanya perlu DM pakcik sahaja untuk kita bertemu.

Benda boleh bincang buat apa nak gaduh,” katanya.

Maszlee berkata, perkara itu perlu diuruskan dengan baik supaya mahasiswa tersebut tidak berasa ditekan diintimidasi, dizalimi dan bertambah yakin serta ego bahawa mereka berada di jalan yang betul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button