Berita SemasaPolitik

Terima rasuah 4 buah kenderaan mewah: Timbalan Ketua Penerangan Bersatu direman SPRM

PETALING JAYA – Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Ali Mohamad, direman selama enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.

Menurut peguamnya, Rafique Rashid Ali, kediaman Ali di Tangga Batu diserbu pegawai SPRM semalam sebelum beliau dibawa ke pejabat SPRM Melaka bersama isteri dan anaknya kira-kira jam 9.30 malam untuk dirakam keterangan.

“Isteri dan anak beliau telah dibebaskan selepas keterangan diambil,” katanya kepada media.

Ali pernah berkhidmat sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dari Disember 2020 hingga Mei 2023.

Sebelum menyertai Bersatu tahun lalu, beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan pernah bertanding atas tiket Barisan Nasional di kerusi Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

Namun, beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional, Aleef Yusof, dengan majoriti 530 undi.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, Ali ditahan kerana disyaki menerima rasuah empat unit kenderaan mewah melibatkan kerja-kerja penambakan laut di kawasan perairan Kota Laksamana di Melaka.

Perintah reman selama enam hari sehingga 20 April 2025 dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang berjawatan sebagai pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah melibatkan empat unit kenderaan mewah selain wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah kira-kira RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat bergelar Datuk.

“Suspek disyaki menerima rasuah berkenaan sekitar 2021 hingga 2023 sebagai balasan kerana memberikan kerja-kerja menambak laut seluas kira-kira 100 ekar kepada syarikat milik individu bergelar Datuk terbabit.

“Susulan itu, suspek bersama individu bergelar Datuk berkenaan telah ditahan sekitar jam 4.30 hingga 5 petang semalam Ketika hadir di Pejabat SPRM Melaka bagi dirakamkan keterangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek dan berkata, suspek kedua bergelar Datuk bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik keterangannya selesai dirakamkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button