
Terima kasih ARMADA, akui kecemerlangan Rafizi – AMK
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyelar kritikan Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Harris Idaham Rashid terhadap tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengambil cuti seketika daripada tugasan rasmi.
Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar Ishak berkata, teguran itu sebagai satu bentuk pengiktirafan tidak langsung terhadap sumbangan cemerlang Rafizi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Pertikaian ini hakikatnya adalah pengiktirafan jelas oleh pembangkang terhadap impak positif yang dilakukan oleh Sdr Rafizi yang berperanan sebagai Menteri Ekonomi bersama-sama pasukan dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Sdr Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook hari ini.
Beliau turut berkata, dasar-dasar ekonomi jangka panjang seperti Dasar Ekonomi Madani, Dasar Gaji Progresif, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah pun dirangka dengan jelas bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
“Jadi, usahlah bimbang. Segala perancangan telah digerakkan untuk memastikan Malaysia kekal kalis terhadap sebarang cabaran termasuk kesan perang tarif yang mungkin berlaku semula jika Donald Trump kembali berkuasa,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Haziq turut menyindir kerajaan terdahulu apabila menyatakan tiada siapa yang mempertikaikan menteri-menteri Perikatan Nasional walaupun kehadiran mereka dikatakan tidak membawa sebarang impak.
“Contohnya, tiada siapa yang tanya kelibat Tuan Guru Haji Hadi Awang sebagai Duta Khas Bertaraf Menteri walaupun keberadaannya sentiasa tidak ada kerana beliau langsung tidak meninggalkan impak atau memberi nilai tambah kepada negara,” katanya lagi.
Kenyataan itu dimuat naik Haziq di platform Facebook dan X miliknya sebagai respons kepada kritikan yang tular baru-baru ini terhadap cuti Rafizi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |