Tarikh bubar DUN Sabah diumum setelah komponen parti GRS capai kata sepakat
PENAMPANG – Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negri (DUN) Sabah hanya akan ditetapkan setelah semua komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencapai kata sepakat.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun ada prerogatif untuk menasihati Yang Dipertua Negeri Musa Aman, beliau lebih memilih membuat keputusan secara bersama, selaras dengan semangat GRS.
“Kita di GRS, setiap keputusan mesti dibuat menerusi Majlis Tertinggi.
“Saya akan bincang dan memaklumkan semua presiden parti bila untuk bubarkan DUN,” katanya selepas hadir pada majlis penutup konvensyen bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan bila perbincangan dengan Majlis Tertinggi itu akan diadakan.
Ditanya sama ada beliau akan membiarkan DUN terbubar secara automatik pada November ini, Hajiji berkata perkara itu akan dipertimbangkan secara berhati-hati.
Untuk rekod, penggal DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov sekiranya tidak dibubarkan lebih awal
Mengulas spekulasi bahawa GRS mungkin bertanding secara solo dalam pilihan raya akan datang, Hajiji berkata, perkara itu juga akan dibincangkan dalam Majlis Tertinggi.
GRS sebelum ini mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama pilihan raya, selepas menyatakan ia mungkin bertanding solo sekiranya PH dan BN membentuk pakatan.
Gabungan Rakyat Sabah terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah, PBS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), United Sabah National Organisation (Usno), Parti Demokratik Liberal (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Cinta Sabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







