POLITIK

SUA UMNO ulangi kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi survival parti

KUALA LUMPUR – Kerjasama UMNO dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah demi kelangsungan parti itu tanpa mengetepikan asas perjuangan demi agama dan bangsa. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dilakukan berlandaskan prinsip perjuangan UMNO yang didukung sejak awal penubuhannya.

“Kita memikirkan survival UMNO hendak pilih sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Ini bukan soal titah Yang di-Pertuan Agong sahaja, memikirkan soal survival kita mengenai soal bagaimana kita hendak bangkit kembali. Jika kita dengan PN pasti habis.

“Apa sahaja keputusan kita berpegang kepada prinsip UMNO, soal Islam, Melayu, Bumiputera, Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan itu tidak boleh berkompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ‘Townhall Penerangan UMNO’ sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pagi tadi.

Dr Asyraf dalam pada itu turut sama mengajak ahli parti untuk bersama bangkit kembali dalam mendepani dinamik politik hari ini dengan bersikap realistik.

Jelas beliau, ini kerana ujian yang diberikan Allah membawa hikmahnya yang tersendiri dan perlu dijadikan pembakar semangat demi membawa perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Bagaimana kalau UMNO boleh bangkit kembali, macam saya cakap daripada awal fokus kita adalah untuk menjadi realistik, jangan jadi angkuh dan sombong.

“Beriman dalam konteks ini adalah kembali kepada landasan perjuangan kita, cukuplah bergaduh antara satu sama lain, cukuplah tembak diri sendiri, cukuplah viral dan serang pemimpin kita,” katanya.

Dr Asyraf menambah, perbalahan dalam kalangan ahli UMNO adalah kesempatan yang akan dimanfaatkan oleh pihak lawan bagi mengeruhkan hubungan kekeluargaan parti itu.

“Saya tidak nampak orang serang Pas, atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia sekarang ini tetapi orang serang presiden dan kepimpinan parti kita dan itulah yang dikehendaki oleh musuh.

“Mereka mahu kita tembak sama sendiri, kalau itu yang berlaku jangan cakap soal perjuangan, jangan cakap kita inilah yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air … tak guna begitu kerana cakap tak serupa bikin,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button