
Steven Sim nafi perpecahan dalam DAP
GEORGE TOWN – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong, menegaskan parti itu kekal bersatu dan tidak mengalami sebarang perpecahan susulan pemilihan kepimpinan peringkat kebangsaan baru-baru ini.
Menurutnya, DAP terus mengutamakan perpaduan serta kematangan dalam perjuangan politiknya.
“Tiada musuh dalam DAP. Kita semua adalah rakan seperjuangan, ahli parti dan satu keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.
Steven Sim berkata, kepimpinan baharu DAP menyaksikan beberapa pemimpin dari Pulau Pinang diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan penting di peringkat kebangsaan.
Antara mereka ialah beliau sendiri, Ramkarpal Singh yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung serta Kasthuri Patto sebagai Setiausaha Antarabangsa.
Pemilihan itu, katanya, membuktikan keyakinan parti terhadap kepimpinan Pulau Pinang dalam mencorak hala tuju masa depan DAP.
Sebelum ini, bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy, mendakwa bahawa kemenangan Gobind Singh Deo dalam pemilihan DAP adalah sebahagian daripada “muslihat politik terancang” yang didalangi oleh kumpulan diketuai Setiausaha Agung, Loke Siew Fook dan Timbalan Pengerusi, Nga Kor Ming.
Gobind yang sebelum ini sekutu rapat bekas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, telah menggantikan Lim dalam jawatan tersebut.
Lim pula hanya menduduki tempat ke-26 daripada 30 individu yang dipilih ke jawatankuasa pusat parti.
Bagaimanapun, Steven Sim tidak mengulas secara langsung mengenai dakwaan tersebut, sebaliknya menegaskan bahawa DAP kekal teguh sebagai satu parti yang bersatu serta terus berpegang kepada prinsip perjuangannya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |