
SPRM gesa kerajaan segerakan RUU pendanaan parti politik
CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa kerajaan menyegerakan penggubalan undang-undang berkaitan pendanaan politik dengan tumpuan awal diberikan kepada pendanaan kempen pilihan raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penguatkuasaan undang-undang itu adalah ideal ketika ini memandangkan beberapa siri pilihan raya akan bermula tidak lama lagi.
“Saya beritahu kepada (Datuk Seri) Azalina (Othman Said), elok untuk mula dengan kecil. Mula dengan projek permulaan. Di Malaysia kita ada PRU setiap lima tahun dan banyak PRK. Mulakan dengan ini dahulu.
“PRU juga hanya dua tahun setengah lagi. Elok undang-undang itu dibahaskan sekarang, dibawa ke Parlimen. Ketika ini, setakat saya tahu, undang-undang pendanaan politik ini tersekat di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas.
“Saya tidak tahu apa masalahnya. Apabila masih tersekat dengan pelbagai perbincangan, saya sebagai pegawai kerajaan dan penguatkuasaan ada pula timbul persepsi lain. Kenapa lambat?” katanya dalam program ‘Dialog Tiga Penjuru’ yang disiarkan di Astro Awani.
Beliau menambah, draf rang undang-undang (RUU) berkenaan adalah komprehensif dan memerlukan penguatkuasaan secara bertahap dengan mengambil masa lebih lama.
“Contohnya, setiap pemberian sumbangan dan dana kepada parti politik perlu dilaporkan. Saya hendak beritahu, parti politik dalam negara kita di setiap cawangan dan bahagian ada akaun (bank) mereka sendiri.
“Contohnya, UMNO sahaja ada 6,000 akaun. Mungkin PKR ada 3,000 akaun. Siapa pula hendak menjadi pengawas kepada akaun-akaun ini? Sampai ke tahap itu undang-undang ini didrafkan,” katanya.
Cadangan itu diutarakan Azam sebagai sebahagian langkah penambahbaikan untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Selasa lalu, Transparency International menerbitkan laporan CPI 2024 dan mengekalkan skor Malaysia sebanyak 50 mata seperti tahun sebelumnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |