SPRM buka dua bilik gerakan pada PRK DUN Nenggiri
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan dua bilik gerakan pilihan raya bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri.
SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, kedua-dua bilik gerakan PRK DUN N.43 Nenggiri itu akan beroperasi pada hari ini sehingga 17 Ogos 2024.
Lokasi bilik gerakan pertama adalah di Lot 2927, Kompleks SPRM Negeri Kelantan Jalan Sultan Yahya Petra, Peti Surat 6000, 15990 Kota Bharu, Kelantan yang dibuka 24 jam.
Manakala bilik gerakan kedua terletak aras 1 Bangunan Persekutuan, 18300 Gua Musang, Kelantan yang dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel kepada prk2024_kel@sprm.gov.my atau menghubungi talian 09-7661800
sambungan 1970,” kata SPRM.
Penamaan calon bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang berlangsung hari ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS pada 17 Ogos ini.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada PAS yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 16 Ogos ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






