SPR belum putuskan undi pos, pengundi Sabah diminta pulang mengundi
KOTA KINABALU – Rakyat Sabah yang berada di Semenanjung perlu pulang sekiranya ingin menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, setakat ini SPR masih belum membuat keputusan untuk membenarkan pengundi Sabah di luar negeri berkenaan mengundi secara pos.
“Keputusan berhubung perkara itu masih belum dibuat, jadi pengundi Sabah yang berada di luar negeri perlu balik ke Sabah untuk mengundi.
“Belum ada keputusan untuk PRN Sabah,” katanya selepas mengumumkan tarikh penting PRN17 di Auditorium Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, semalam
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau menyokong seruan pelbagai pihak yang meminta SPR mempertimbangkan pelaksanaan undi pos bagi warga Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraisah Munirah Majilis turut menyuarakan kepada SPR mengenai keperluan untuk Rakyat Sabah di Semenanjung diberikan hak untuk mengundi tanpa perlu berada di Sabah.
Sebagai cadangan kepada kerajaan,
beliau memohon agar kerajaan memberikan cuti tanpa rekod sehari sebelum hari mengundi kepada rakyat Sabah yang berada di Semenanjung untuk pulang ke Sabah.
Selain itu, beliau turut memohon agar kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan memastikan agar tambang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dapat dikawal dan diturunkan kepada satu kadar yang munasabah dan mampu.
Buat masa ini, undi pos hanya diberikan kepada tiga kategori 1A iaitu untuk petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media; 1B untuk warga negara Malaysia di luar negara dan kategori 1C untuk agensi atau organisasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






