BERITA SEMASADALAM NEGERIPOLITIK

Nurul Izzah layak sandang jawatan Timbalan Presiden – Shamsul

SEREMBAN – Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan sokongan penuh pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut beliau, Nurul Izzah bukan sekadar tokoh politik, ia simbol perjuangan Reformasi yang telah melalui pelbagai fasa sejak awal penubuhan gerakan lebih dua dekad lalu.

“Nurul Izzah adalah lambang awal gerakan Reformasi yang sarat dengan luka dan air mata. Ketika ramai seusianya masih mencari arah, beliau telahpun berdiri di barisan hadapan, memikul beban politik yang hadir tanpa diminta,” katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri program jelajah kempen di Seremban yang menghimpunkan pimpinan parti dan penyokong setempat.

Shamsul mengimbas peristiwa ketika ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, menjadi mangsa kezaliman politik, sekali gus mencetuskan kebangkitan rakyat dan pembentukan gerakan reformasi.

“Puteri Reformasi tidak memasuki medan politik kerana kemahuan peribadi, sebaliknya kerana amanah sejarah dan warisan idealisme yang menuntut keberanian serta pengorbanan.

“Perjalanan politik Nurul Izzah adalah bukti kesungguhan dan daya tahan seorang pemimpin wanita yang konsisten dengan prinsip. Bermula dari pentas GERAK pada tahun 1998, ke kerusi Parlimen Lembah Pantai sehinggalah ke platform antarabangsa, Nurul Izzah tidak pernah lari daripada tanggungjawab.

“Pengalaman beliau bukan sahaja panjang, tetapi penuh cabaran dan ujian. Beliau diserang kerana nama, diuji kerana pendirian namun tetap berdiri dengan keyakinan, berani dan berprinsip,” katanya.

Shamsul menyatakan PKR memerlukan kepimpinan yang telah teruji dengan realiti perjuangan dan beliau yakin Nurul Izzah memiliki segala yang diperlukan untuk memainkan peranan sebagai Timbalan Presiden parti.

“Saya percaya ini adalah masa terbaik untuk beliau melangkah ke hadapan. PKR memerlukan kekuatan jiwa dan kesetiaan terhadap prinsip dan Nurul Izzah telah membuktikan kedua-duanya sepanjang karier politiknya,” tegas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button