Setiap bahagian perlu rangka manifesto bermula sekarang, bukan tunggu pilihan raya – Khaled Nordin
DUNGUN – Memelihara perpaduan dan menunjukkan kesetiaan kepada parti adalah kunci utama bagi memastikan kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kekuatan dalaman parti perlu diperkukuh secara bersama agar perjuangan UMNO kekal relevan dalam kalangan rakyat.
“Kalau kita mahu menang, kita tidak boleh abaikan perpaduan dan kesetiaan kepada parti.
“Kalau dua perkara ini tidak ada, cita-cita untuk menang hanya tinggal laungan yang berterabur di langit.
“Bina keakraban, persahabatan dan semangat setiakawan sesama kita. Saya percaya pimpinan pusat akan terus hadir memperkukuh kerjasama dan kesepaduan demi menjayakan matlamat besar kita,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun di sini, semalam.
Khaled yang juga Menteri Pertahanan turut menghargai kesetiaan ahli dan akar umbi yang kekal bersama parti meskipun UMNO pernah berdepan kekalahan dalam pilihan raya.
“Kita kekal dalam UMNO kerana ini parti perjuangan. Kita tidak lari ketika kalah kerana kesetiaan kita pada agama, bangsa dan tanah air.
“Walaupun UMNO kini sedang sakit, sebagai orang perjuangan, tanggungjawab kitalah untuk memulihkan parti,” katanya lagi.
Beliau berkata, rakyat hari ini tidak boleh diyakinkan hanya dengan naratif perjuangan semata-mata, sebaliknya pendekatan lebih kontemporari diperlukan.
“Kita perlu faham, parti lawan juga mendakwa memperjuangkan perkara yang sama.
“Jadi, kita tak boleh hanya bercakap soal ideologi. Pendekatan kita perlu berubah dan realistik.
“Setiap bahagian mesti mula merangka perancangan serta manifesto yang jelas dan boleh diyakini rakyat. Jangan tunggu dekat pilihan raya baru nak mula,” katanya lagi.
Khaled turut menyentuh keperluan UMNO menggunakan media sosial secara lebih meluas untuk menjelaskan agenda parti kepada rakyat, khususnya golongan muda.
“Kita mesti bangunkan peluang dan upayakan rakyat. Jika kelemahan kerajaan negeri hanya jadi perbualan dalam kalangan kita sahaja, kita tak akan ke mana.
“Gunakan media sosial untuk jangkau rakyat. Kita tak boleh lari daripada hakikat bahawa medium baharu komunikasi sangat penting,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar usaha memperkukuh keanggotaan UMNO dalam kalangan orang muda digiatkan bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti.
“Jika UMNO mahu terus hidup ratusan tahun lagi, orang muda mesti bersama kita. Kita mesti yakinkan mereka dan libatkan mereka dalam gerak kerja serta perancangan parti,” katanya lagi.
Khaled turut berpandangan bahawa UMNO perlu melahirkan pemimpin pelapis yang mampu mengemudi parti dengan pendekatan lebih segar dan dinamik.
“Kita mahu pemimpin masa depan datang dari UMNO, bukan parti lain. Kita perlukan idea baharu, pendekatan yang moden dan berteraskan teknologi.
“Jika kita gagal sediakan pemimpin baharu, UMNO mungkin hilang dari pentas politik negara. Jadi, sama-sama kita fikir dan bertindak,” katanya lagi.
Beliau berkata, UMNO Bahagian Dungun akan terus memainkan peranan penting dalam mengembalikan kekuatan parti di peringkat negeri dan pusat.
“Insya-Allah, Dungun bukan sahaja akan terus kukuh, malah akan menyumbang kerusi yang membantu UMNO membentuk kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








