
Kenyataan pemimpin DAP gugat semangat perpaduan – Nurulhidayah
SHAH ALAM – Kenyataan seorang pemimpin DAP yang mencadangkan agar MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan disifatkan boleh menjejaskan semangat persefahaman yang menjadi asas pembentukan kerajaan ketika ini.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak membantu meredakan keadaan, malah berpotensi memburukkan lagi hubungan antara parti-parti komponen yang telah berikrar untuk bekerjasama.
“Ia menggambarkan seolah-olah masih wujud parti yang lebih selesa bermain dengan sentimen kuasa dan kedudukan berbanding menunjukkan kematangan dalam kepimpinan bersama,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Menurutnya, politik perpaduan tidak seharusnya menjadi sekadar slogan kosong, sebaliknya perlu dizahirkan dengan sikap sabar, berlapang dada dan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti.
“Jika semua sibuk hendak ‘suruh keluar’ hanya kerana perbezaan pandangan, maka apa bezanya kita dengan era politik kucar-kacir sebelum ini?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan memikul amanah besar, bukan sahaja daripada rakyat, tetapi juga daripada Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan penubuhan kerajaan berkenaan.
“Amanah itu bukan kecil. Rakyat mahukan penyelesaian kepada masalah mereka, bukannya melihat parti-parti komponen saling menyerang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nurulhidayah turut mempersoalkan sama ada kenyataan tersebut mampu menyelesaikan isu-isu rakyat seperti masalah subsidi tong gas dan kemudahan kiosk niaga yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Adakah apabila MCA dilihat aktif mendampingi rakyat, ia menjadi satu ancaman kepada DAP?” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua parti dalam Kerajaan Perpaduan agar kembali kepada asas perpaduan – iaitu politik berteraskan nilai, etika dan akhlak.
“Jika benar kita ikhlas mahu melihat negara ini aman, maju dan dihormati, maka hentikan kenyataan yang boleh meretakkan kepercayaan sesama komponen.
“Kepimpinan bukan soal siapa paling kuat suara, tetapi siapa paling besar jiwa,” katanya lagi.
Nurulhidayah turut berkata, Kerajaan Perpaduan seharusnya menjadi gabungan jiwa yang besar, bukan sekadar gabungan parti, demi masa depan rakyat dan negara tercinta.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |