POLITIK

Semak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 – Setiausaha Agung Pas

CYBERJAYA – Akta Perhimpunan Aman 2012 perlu disemak semula secara menyeluruh supaya ia mencerminkan semangat Perlembagaan dan prinsip hak asasi manusia di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa semakan itu dibuat berkata, langkah itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, semalam.

Tambahnya, kerajaan juga perlu serius menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta yang boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara, termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Perkara ini juga selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 mereka,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Gesaan Takiyuddin itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, yang berkaitan dengan keperluan memberikan notis untuk himpunan aman, adalah tidak berperlembagaan.

Keputusan tersebut dibuat oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Tambah Takiyuddin lagi, keputusan mahkamah berkenaan merupakan suatu penegasan terhadap kedaulatan Perlembagaan dan satu mesej jelas bahawa hak asasi rakyat tidak boleh digugat oleh peruntukan undang-undang yang menindas atau berlebihan.

“Seksyen 9(5), yang memperuntukkan penalti jenayah terhadap penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis kepada pihak polis dalam tempoh lima hari sebelum tarikh perhimpunan, telah lama dianggap sebagai satu bentuk sekatan tidak munasabah terhadap hak dan kebebasan berhimpun.

“Kini, dengan keputusan ini, pasti rakyat Malaysia lebih yakin bahawa pandangan mereka boleh disuarakan tanpa ancaman pendakwaan yang tidak berasas,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button