BERITA SEMASAPOLITIK

Seluruh jentera Kerajaan Perpaduan bantu PRK DUN Mahkota

PUTRAJAYA – Sekretariat Kerajaan Perpaduan memaklumkan semua jentera parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan digerakkan sepenuhnya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota

Ketua Sekretariatnya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seluruh jentera terutama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama untuk memenangi hati dan sokongan pengundi di DUN Mahkota dari kalangan pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya semalam menyokong penuh calon BN di PRK DUN Mahkota.

“Mesyuarat memperakui struktur jentera Kerajaan Perpaduan Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil N.29 DUN Mahkota.

“Tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil akan dipikul oleh Datuk Onn Hafiz bin Ghazi manakala Penyelaras Jentera Pakatan Harapan oleh Aminolhuda bin Hassan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat turut memandang serius isu-isu mengenai 3R dan menegaskan akan menumpahkan taat setia serta terus mempertahankan kedaulatan dan kedudukan DYMM Raja-Raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu mesyuarat yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara akan melaksanakan tanggungjawab pada 14 September.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button