
‘Saya tiada masalah isytihar harta, yang tak isytihar dia…’ – Anwar
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia menyambut cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad berkait isu pengisytiharan harta dimilikinya sepanjang menjadi Timbalan Perdana Menteri antara 1993 hingga 1998.
Perdana Menteri menegaskan, menegaskan beliau sememangnya sudah pun mengisytiharkan harta secara terbuka dan maklumat itu diketahui umum, berbanding bekas mentornya itu yang didakwanya belum pernah berbuat demikian.
Berita Harian melaporkan, Anwar menyifatkan Dr Mahathir cuba ‘menegakkan benang basah’ apabila menafikan memiliki harta mencecah berbilion ringgit, sedangkan kata Perdana Menteri, kekayaan itu hakikatnya ‘diketahui semua orang’.
“Saya tiada masalah (untuk isytihar harta), saya antara orang yang isytiharkan harta. Yang tidak (isytihar) dia (Dr Mahathir).
“Baru-baru ini (menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15) pun saya isytihar RM11 juta, iaitu harga rumah di Segambut, itu bukan rahsia, itu diketahui umum,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Aidilfitri Malaysia MADANI di Dataran Merdeka, di sini hari ini.
Untuk rekod, Anwar pernah mengisytiharkan harta pada November lalu bagi memenuhi syarat diputuskan PKR untuk semua calon PRU15 daripada parti itu. Aset bersih bernilai RM11,178,667.80 setakat 31 Oktober 2022 itu antara lain merangkumi hartanah termasuk kediaman bernilai RM10,350,000.
Presiden PKR itu turut mengisytiharkan aset tunai dan simpanan berjumlah RM828,667.83 serta pendapatan bulanannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson ketika itu sebanyak RM21,755.80.
Isnin lalu, Dr Mahathir memulangkan paku buah keras apabila mencabar kembali Anwar mendedahkan kekayaan dimiliki ketika Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Cabaran itu menyusul sehari selepas Anwar mengulangi gesaan dan cabarannya supaya bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu mendedahkan segala aset yang dimilikinya, selain anggota keluarga.
Menjawab cabaran Anwar, Dr Mahathir berpandangan beliau tidak perlu melayan permintaan itu atas alasan Presiden PKR itu kononnya sudah memiliki ‘berkotak’ dokumen mengandungi maklumat berkenaan kekayaan beliau.
Beliau juga menyifatkan cabaran Anwar terhadapnya serta pemimpin terdahulu sebagai ‘menghairankan’ berikutan Perdana Menteri kononnya sudah memiliki bukti mengenai kekayaan mereka, malah Anwar sendiri antara pemimpin lama yang pernah dituduh membantu kroni.
Sehubungan itu, Mahathir mencabar bekas protegenya itu untuk turut mengisytiharkan harta yang diperolehnya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri antara 1993 hingga 1998.
Mengulas cabaran supaya ‘bukti berkotak-kotak’ mengenai kekayaan Dr Mahathir didedahkan, Anwar menegaskan, perkara itu juga sememangnya diketahui umum berdasarkan kepelbagaian harta dan aset dimiliki anak bekas Perdana Menteri itu.
“Ada (bukti), dah ada. Kalau anak (Dr Mahathir) ada pesawat, kapal, syarikat (bernilai) berbilion-bilion, bukti apa lagi? Semua orang tahu. Ini menegakkan benang basah. Benang basah jika nak tegak, dia jatuh,” katanya.
Awal bulan ini, Dr Mahathir mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan perdana menteri itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lalu.
Bekas Perdana Menteri mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |