
‘Saya maafkan tapi balasan tidak tunggu akhirat’- ibu Syed Saddiq
PUTRAJAYA – Dalam nada penuh emosi namun tegas, ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menzahirkan kemaafan kepada pihak yang didakwanya telah menganiaya anaknya.
Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz ketika ditemui di Mahkamah Rayuan Putrajaya di sini bagaimanapun memberikan peringatan keras bahawa setiap kezaliman pasti akan menerima balasan, tidak hanya di akhirat, bahkan di dunia ini juga.
Tegasnya, beliau sebagai seorang ibu telah menyaksikan sendiri penderitaan anaknya sepanjang lima tahun yang dipenuhi tekanan, fitnah dan ketidakadilan.
“Saya maafkan, tapi jangan lupa… balasan Allah itu kadang datang ketika kita masih hidup. Jangan zalimi orang lain dan fikir ia akan berlalu begitu sahaja,” katanya dengan nada yang penuh emosi.
Beliau turut mengingatkan bahawa hidup ini bersifat sementara dan manusia tidak seharusnya mengambil kesempatan untuk menjatuhkan sesama insan demi kepentingan peribadi.
“Saya hanya mampu berdoa agar mereka yang menganiaya anak saya diberi hidayah. Tapi jangan sesekali anggap bahawa kezaliman tidak akan dibalas. Kebenaran akhirnya akan tertegak,” ujarnya.
Ucapan tersebut dilontarkan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan melibatkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana ARMADA, sekali gus membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |