
Saya anak jati Sabak Bernam – Mohamad Zaidi
SABAK BERNAM – Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Zaidi Selamat menolak dakwaan pihak tertentu kononnya beliau sebagai calon luar dan tidak sepatutnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.
Beliau memberitahu, beliau merupakan anak kelahiran Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan yang merupakan salah satu kawasan di daerah Sabak Bernam.
Mohamad Zaidi yang turut dikenali sebagai ‘Cikgu Zaidi’ juga pernah mencurah khidmat bakti sebagai pendidik di daerah sama dan pernah bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam.
“Sekinchan masih lagi dalam daerah ini dan tidak sepatutnya menjadi isu bertanding kerana saya bukan dari daerah atau negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi nenek saudaranya di Kampung Sepintas, di sini hari ini.
Mengulas mengenai persediaan jentera, Mohamad Zaidi memberitahu, semua jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kini giat menjalankan kempen bertemu dan meyakinkan pengundi.
Katanya lagi, ketika ini beliau mengandaikan keseluruhan jentera sudah pun memasuki ‘gear’ empat di DUN tersebut.
“Setakat hari ini sahaja, saya dan jentera sudah menyantuni lebih 100 rumah penduduk dalam menyampaikan hasrat dan visi kita.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan fokus kita adalah memenangkan calon PN dalam pilihan raya kali ini,” ujar beliau.
PRN kali ini menyaksikan Mohamad Zaidi menentang penyandang kerusi DUN itu, Datuk Rizam Ismail daripada Barisan Nasional (BN).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Rizam memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,440 undi selepas menewaskan calon Pas, Zamri Yahya dan Mohd Hamizar Sulaiman (Bersatu).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






