BERITA SEMASAPMXPOLITIK

Rombakan Kabinet belum dibincang, kerajaan fokus tuntutan MA63 – Anwar

TAWAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu rombakan Kabinet belum dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, sebaliknya perbincangan kini tertumpu kepada keputusan sama ada kerajaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, keputusan muktamad akan dibuat selepas mendengar penjelasan dan pandangan daripada Peguam Negara dalam mesyuarat Kabinet esok.

“Rombakan Kabinet ini kita tak bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Mesyuarat Jemaah Menteri seperti yang saya bayangkan akan memuktamadkan soal sama ada merayu atau tidak.

“Negara ini ada hukum dan prosesnya, maka kita dengar dulu peguam negara sebelum membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di Tawau, hari ini.

Anwar menegaskan kerajaan perpaduan pimpinan beliau bersikap lebih tegas dan komited dalam melaksanakan tuntutan MA63 termasuk memastikan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak lebih kukuh berbanding sebelum ini.

“Marah-marah tak ada maknanya sebab kerajaan MADANI ini lebih tegas soal MA63, lebih kukuh pelaksanaannya dan lebih terjamin peruntukannya kepada Sabah berbanding sebelum ini,” katanya.

Mengulas tindakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan, Anwar menyifatkan ia sebagai keputusan tergesa-gesa memandangkan kerajaan masih belum memuktamadkan pendirian berhubung rayuan kes berkenaan.

“Ya, tentunya (terburu-buru), kerana dia tahu kita belum muktamadkan. Dalam proses biasa, mana-mana penghakiman di peringkat Mahkamah Tinggi bila ada kelompongan atau kelemahan, wajar ada rayuan.

“Tapi dalam kes ini, kerana ia melibatkan rundingan, mungkin ada ruang. Kita akan muktamadkan selepas mendengar pandangan Peguam Negara,” katanya.

Beliau turut menasihati agar semua pihak tidak bertindak berasaskan emosi atau tekanan politik semata-mata.

“Kadang-kadang kerana desakan, kita panik. Sebagai pemimpin, kita tak boleh panik. Kita kena tahu keresahan Sabah, tapi juga perlu faham perlembagaan dan proses yang mesti dilalui,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas tuntutan penduduk felda di Sabah yang memohon 100 ekar tanah untuk generasi kedua, Anwar berkata perkara itu telah sampai ke pejabatnya dan akan diteliti.

“Sabar dan kita bincang dengan baik. Sejak saya ambil alih, kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion setahun untuk membayar hutang Felda,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button