Berita SemasaPolitik

Razman Zakaria mohon maaf kepada Hannah Yeoh atas kenyataan terkait YTL

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria memohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mengaitkan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu dengan konglomerat YTL.

Razman dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau mengakui terkhilaf berhubung kenyataannya dan menyifatkan ia kesilapan kod yang berlaku tanpa sengaja.

“Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL, ia kesilapan kod yang berlaku tanpa sengaja,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 19 saat yang memaparkan ucapan pemimpin Pas mendakwa Hannah sebagai ‘anak YTL’ pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit semalam.

“Hannah Yeoh anak orang kaya, anak YTL. YTL ini dulu Perak Hanjoong” kata Razman dalam ucapan beliau.

Sementara itu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut dalam satu kenyataan balas hari ini menyifatkan kenyataan Razman itu sebagai tidak masuk akal.

Dalam pada itu, Razman turut meluahkan rasa kecewa terhadap pihak media yang dikatakan dengan sengaja melaporkan kesilapan berbanding kejayaan program anjuran Pas.

“Pemberitaan itu merujuk ayat saya kira-kira kurang 10 saat daripada keseluruhan ceramah lebih setengah jam.

“Program Gerak Muafakat Ummah adalah program selama tiga hari melibatkan tiga dewan utama sayap Pas dengan kehadiran keseluruhan lebih 5,000 orang.

“Ucapan saya yang dipetik portal berita itu adalah ayat yang bukan isi utama apatah lagi ceramah tersebut menampilkan tiga tokoh utama,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button