
Razman jangan berlindung di sebalik ‘Suara Rakyat’ – DAPSY
KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria diingatkan agar tidak terus berlindung di sebalik slogan “suara rakyat” untuk menghalalkan kenyataan dan tuduhan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAPSY, Syaheera Ghafar berkata, kenyataan Razman yang mendakwa karikatur badut memaparkan wajahnya sebagai satu penghinaan adalah tidak wajar, malah cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.
Karikatur itu dimuat naik oleh Ketua DAPSY Kebangsaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong di media sosial, sehingga menyebabkan satu laporan polis dibuat dan beliau dipanggil memberi keterangan.
“Jika beliau benar-benar membawa suara rakyat, jadilah pemimpin yang membawa suara kebenaran, mengajak kepada perpaduan serta keharmonian.
“Rekod beliau sebagai ahli politik dari PAS tidak menunjukkan ciri-ciri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syaheera turut mempersoalkan sama ada karikatur berkenaan benar-benar memberi impak besar kepada rakyat berbanding beberapa dakwaan lampau yang dibuat oleh Razman yang terbukti palsu atau diselesaikan di luar mahkamah.
Antaranya, dakwaan pada tahun 2017 terhadap Lim Guan Eng yang kononnya menyokong larangan bertudung bagi pekerja hotel, menyebabkan mahkamah mengarahkan Razman membayar RM250,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Beliau juga mengimbas kenyataan Razman semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2023 yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki agenda LGBT, sebelum beliau membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Adakah karikatur itu lebih berbahaya kepada keharmonian berbanding tuduhan beliau terhadap Anwar yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia?” soalnya lagi.
Tambah Syaheera, Razman turut pernah mengaitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan ADUN Pasir Bedamar dalam insiden pengibaran bendera China di Teluk Intan pada 2024, sebelum menarik balik kenyataan dan memohon maaf.
“Beliau juga mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada Oktober 2024 yang menyeru mereka yang ‘mata, kulit dan darahnya’ seperti beliau untuk bersatu. Tidakkah ini lebih berbahaya berbanding sekadar karikatur?” katanya lagi
Syaheera berkata, rakyat tidak harus tertipu dengan retorik ‘suara rakyat’ yang digunakan untuk menutup tuduhan-tuduhan palsu dan provokatif yang boleh merosakkan perpaduan negara.
“Tuduhan palsu bukan suara rakyat. Banyak lagi cara lebih bermaruah untuk membawa suara rakyat dan memainkan peranan sebagai pembangkang bagi memperbaiki pentadbiran kerajaan,” katanya lagi.
Tegas beliau, pemimpin seperti Razman seharusnya menjadi teladan kepada masyarakat dan bukannya mencetuskan ketegangan kaum mahupun menyebar kebencian atas nama politik.
“Bawa nilai positif dan kebenaran dalam masyarakat. Ini yang kita semua perlukan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |