
Rafizi sedia undur diri, mahu fokus akar umbi hadapi PRU16
CYBERJAYA – Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediannya tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan digugurkan daripada Kabinet bagi memberi tumpuan kepada akar umbi.
Hasrat itu sudah dinyatakan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka, baru-baru ini.
“Dalam pertemuan dengan Anwar, saya mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah Pilihanraya Umum ke-16 (PRU16) perlu diperkemaskan mengambil kira keadaan semasa rakyat.
“Saya (turut) menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden dan tidak menyertai kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Hasrat itu, kata Rafizi lagi, adalah berdasarkan kebimbangan beliau kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan dan tidak menyerang.
“Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas, seperti sebelum ini.
“Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen PKR yang dilihat tidak agresif,” katanya lagi.
Jelas Rafizi, sepanjang tempoh beliau bercuti daripada tugas Menteri Ekonomi, beliau sudah mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya turut nyatakan hasrat sama kepada Saifuddin dan menyatakan kesediaan saya untuk memberi laluan, supaya saya boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU16 tanpa perlu terikat kepada peraturan kabinet dan kerajaan.
“(Bagaimanapun) Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding Timbalan Presiden dan menjadi sebahagian dari kabinet. Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |