BERITA SEMASADALAM NEGERIPOLITIK

Rafizi dikritik utamakan parti berbanding tugas menteri – ARMADA

KUALA LUMPUR — Tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bercuti daripada tugas rasmi kerajaan untuk memberi tumpuan kepada audit pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengundang kritikan hebat daripada sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ARMADA.

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, dalam satu kenyataan media hari ini menyifatkan tindakan Rafizi bercuti daripada tugas rasmi sebagai Menteri Ekonomi demi menguruskan audit pemilihan parti sebagai langkah yang tidak wajar dan mengecewakan.

Menurutnya, keputusan tersebut memberi gambaran jelas bahawa Rafizi lebih mengutamakan politik dalaman PKR berbanding tanggungjawab terhadap negara.

“Ketika negara bergelut dengan perang ekonomi global, tindakan tarif balas oleh Amerika Syarikat, ketidaktentuan harga barang serta pelaksanaan subsidi bersasar yang masih kabur, Rafizi memilih untuk mendahulukan perebutan kuasa dalam partinya,” tegas Harris.

Beliau turut mempersoalkan komitmen Rafizi sebagai menteri apabila tidak mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan kempen kerajaan, malah mengambil cuti untuk kembali aktif dalam politik parti.

ARMADA menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, memandangkan beliau turut tidak menghadiri Persidangan Khas Parlimen yang berkait rapat dengan bidang kuasa kementeriannya.

“Jika jawatan menteri dianggap penghalang kepada kerja politik, maka lebih baik Rafizi meletakkan jawatan sepenuhnya. Negara memerlukan pemimpin yang setia kepada rakyat, bukan hanya kepada partinya,” katanya lagi.

Kenyataan ARMADA sehari selepas Rafizi mengumumkan cuti pendeknya bagi menguruskan audit pemilihan parti PKR, yang menurutnya bertujuan memastikan proses pemilihan yang bersih dan telus dalam parti.

Namun, ARMADA berpandangan keputusan tersebut membuktikan kecenderungan Rafizi terhadap politik dalaman melebihi tanggungjawab awam yang digalasnya.

ARMADA menyuarakan rasa kesal kerana tindakan tersebut berlaku dalam suasana ekonomi negara yang memerlukan perhatian dan kepimpinan yang lebih komited.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button