POLITIK

Rafizi akan diberi ‘amaran keras’ – Pengerusi JPP PKR

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli akan diberi amaran keras susulan tindakannya mengumumkan ‘chai’ pilihannya menjelang pemilihan parti peringkat Pusat esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan Rafizi bercanggah secara langsung dengan Garis Panduan Pemilihan 2025 yang telah ditetapkan pihaknya, lapor BH Online.

“Kita sudah menegaskan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bahawa JPP akan mengambil tindakan ke atas mana-mana aduan termasuk kempen sendiri.

“Buat masa ini, JPP akan memberikan amaran keras kepada pihak-pihak yang terbabit.

“Seterusnya, aduan ini akan diangkat kepada Jawatankuasa Disiplin dan itu adalah keputusan yang telah dipersetujui MPP,” katanya ketika Sesi Taklimat Media Sempena Kongres Nasional PKR 2025, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim.

Semalam, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mengumumkan ‘chai’ pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti bagi pemilihan MPP esok, di akaun X miliknya.

Bagi perebutan empat slot Naib Presiden, Rafizi menyenaraikan empat nama yang menjadi pilihannya daripada senarai 12 calon yang mengesahkan bertanding.

Mereka ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G Manivanan.

Walaupun penggunaan ‘chai’ dalam bentuk digital dibenarkan secara terhad, namun pengumuman terbuka dan agresif Rafizi melalui akun media sosial miliknya memperlihatkan unsur kempen berkumpulan yang dilarang keras.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, beliau juga mengarahkan kain rentang calon yang diletakkan di kawasan pusat pemilihan sekitar bandaraya ini diturunkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button