BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Sabah: Tok Mat sahkan tiada pertembungan BN-PH

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengesahkan tidak akan berlaku sebarang pertembungan kerusi antara kedua-dua gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun rundingan dalaman BN mengenai agihan kerusi masih berlangsung, persefahaman antara dua komponen kerajaan Madani itu kekal utuh.

“Masih ada perbincangan dalam BN tentang kerusi yang akan ditandingi, tetapi saya boleh sahkan bahawa tiada pertembungan antara BN dan PH,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Penduduk Kampung Contoh, Putatan, semalam.

Beliau turut mengingatkan jentera BN supaya terus bergerak sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan parti.

“Jentera BN perlu bekerja keras hingga ke hari pengundian pada 29 November bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya nanti,” katanya seperti dipetik Bernama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 15 November, pengundian awal 25 November, dan hari mengundi pada 29 November.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mencadangkan Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.

Kerusi berkenaan kini disandang Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya yang digantung keahlian oleh UMNO.

“Jeffrey Nor wajar diberi peluang menjadi calon kerana kesetiaan beliau kepada parti dan usahanya membina semula kekuatan UMNO di Putatan. Beliau juga mendapat sokongan kuat daripada penduduk setempat,” katanya.

Namun, Mohamad menegaskan keputusan muktamad mengenai calon akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button