POLITIK

PRN Sabah: DAP tolak kerjasama dengan pihak oportunis

KOTA KINABALU – DAP Sabah berjaya menganjurkan Retreat Kepimpinan 2025 selama tiga hari bermula 2 Mei lalu di Borneo Beach and Mangrove Resort dengan penyertaan barisan kepimpinan utama peringkat pusat dan negeri serta wakil akar umbi parti.

Program itu memberi tumpuan kepada penyelarasan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selain perbincangan mendalam mengenai dasar tadbir urus dan hala tuju masa depan negeri tersebut.

Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, retreat tersebut berjaya mencapai persefahaman bersama antara kepimpinan dan ahli parti dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik negeri yang disifatkan masih tidak menentu.

“Landskap politik Sabah sangat cair dan sukar dijangka. Dalam suasana sebegini, DAP Sabah perlu kekal fokus dan jelas dengan identitinya serta membawa dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita tidak berminat bermain politik retorik. DAP Sabah mahu menjadi parti yang tampil dengan penyelesaian terhadap isu rakyat dan mampu melaksanakan perubahan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Setiausaha Pengelola Kebangsaan, Khoo Poay Tiong; Setiausaha Publisiti, Yeo Bee Yin; Pengarah Strategi, Liew Chin Tong; Pengarah Pendidikan Politik, Howard Lee; Pengarah Pilihan Raya, Wong Kah Woh serta Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong.

Mengulas lanjut, Phoong menegaskan semua pemimpin parti dari peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi perlu membuktikan kemampuan dengan prestasi kerja, bukan sekadar berpolitik.

“Kita mesti biar prestasi menjadi kayu ukur, gunakan fakta dan angka untuk menunjukkan impak dasar yang kita bawa. Ini masanya untuk DAP buktikan ia parti yang bertindak, bukan sekadar berkata-kata.

“Saya mahu semua peringkat parti menggerakkan dasar ‘Tiga Baik’ iaitu perbaiki kehidupan rakyat, majukan ekonomi dan jaga kebajikan masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, DAP bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak berasaskan hala tuju dasar yang selari, namun menolak sebarang bentuk kerjasama yang bersifat oportunis.

“Soal kerjasama politik belum sampai masanya untuk diputuskan. Namun, kami terbuka kepada dialog konstruktif dengan mana-mana parti yang komited terhadap agenda reformasi.

“Gabungan bukan hanya soal kestabilan, tapi perlu ada visi pemerintahan. Sebab itu bagi kami, dasar mesti didahulukan sebelum perbincangan kerjasama dimulakan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Phoong turut merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan yang hadir dan menyeru seluruh jentera parti agar terus bersatu dan bekerja kuat demi mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Kita perlu bekerja dua kali lebih kuat. Hanya dengan iltizam, fokus dan kesungguhan, kita mampu bawa perpaduan, kestabilan dan harapan baharu untuk rakyat Sabah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button