
PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 undi
GUA MUSANG – Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumum memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini dengan majoriti 3,352 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK N43 Nenggiri di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi malam tadi.
“Keputusan pilihan raya negeri N43 Nenggiri yang diperoleh oleh calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail dengan 5,739 undi.
“Kedua Mohd Azmawi Fikri dari BN memperoleh 9,091 undi. Jumlah undi yang ditolak adalah 135 undi manakala majoriti adalah 3,352 undi.
“Peratus pengundian berbanding jumlah pemilih adalah 73.88 peratus.
“Dengan ini saya mengisytiharkan bahawa, calon dari BN telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri N43 Nenggiri,” katanya dalam pengumuman itu.
Sementara itu, Mohd Azmawi atau lebih popular dengan panggilan Awie menyifatkan kemenangan itu adalah kemenangan parti dan bukannya kemenangan peribadinya.
Beliau yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memilih beliau.
“Terima kasih pengundi kerana memilih saya. Ini kemenangan UMNO, bukan kemenangan saya seorang.
“Apa yang saya mahu katakan adalah terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan UMNO, jentera parti dan keluarga saya,” katanya.
PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon PAS.
PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN, Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





