BERITA SEMASAPOLITIK

PRK Nenggiri: Bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang diumum calon BERSATU

GUA MUSANG – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.

Pesara anggota Tentera Laut Diraja Malaysia berusia 41 tahun itu akan bertanding sebagai calon Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) menggunakan logo PAS.

Pengumuman dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada majlis pengumuman calon PN di Masjid Hijau Renok di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut hantaran di Facebook PN petang ini, Mohd Rizwadi merupakan seorang aktivis yang bergiat aktif dalam politik Gua Musang.

Mohd Rizwadi juga merupakan penduduk tempatan yang menetap dan mengundi di DUN Nenggiri.

“Beliau terus menabur bakti kepada negara dengan menyertai Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) sejurus selepas menamatkan pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sepanjang bersama TLDM, beliau pernah berkhidmat di Stesen Komunikasi TLDM Kuantan, KD Pelanduk di Lumut, Stesen UNIFORM TLDM di Sabah serta Markas Wilayah Laut 2 Labuan dan Kota Kinabalu. Selepas bersara sebagai Laskar Kanan TLDM, beliau dan keluarga mula menetap di Bertam Lama, Nenggiri,” menurut kenyataan itu.

Sejak bergiat aktif dalam masyarakat Gua Musang, beliau pernah dilantik sebagai Pengelola Dakwah Halaqat Gua Musang di bawah Bahagian Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Beliau diberikan tanggungjawab menyelia dan menguruskan 230 orang pegawai serta kakitangan yang terdiri daripada Pegawai Halaqat, Pembantu Pegawai Halaqat, Guru Al-Quran dan Guru Fardu Ain.

“Mengambil kira ukhuwah yang teguh serta kepentingan strategik Perikatan Nasional, dan berasaskan komitmen untuk mendapat kemenangan besar dalam PRK Nenggiri, beliau menyertai BERSATU dengan semangat idealisme perjuangan demi masa depan masyarakat Nenggiri.

“Maka, calon BERSATU yang akan bertanding mengunakan logo PAS di bawah panji Perikatan Nasional adalah Saudara Mohd Rizwadi Ismail,” kata kenyataan itu.

Mohd Rizwadi akan bertemu calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan pada PRK yang ditetapkan pada 17 Ogos ini.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button