
PRK KKB: Undi Melayu terhadap PN meningkat kepada 83 peratus banding PRN lalu
KUALA LUMPUR – Undi kaum Melayu yang diterima oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei lalu meningkat daripada 75 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu kepada 83 peratus.
Menurut Institut Masa Depan Malaysia dalam analisis terperinci PRK itu, PN hanya mencatatkan kemerosotan undi Melayu dalam kalangan pengundi awal yang menunjukkan trend bertentangan dengan pengundi biasa.
Katanya, manakala tahap sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Harapan (PH) pula kekal tinggi pada sekitar 97 peratus dalam kedua-dua PRN 2023 dan PRK 2024.
“Dalam kalangan pengundi India pula, dianggarkan sekitar 85 peratus mengundi PH dan selebihnya memilih PN.
“Dapatan ini menunjukkan tiada perubahan ketara pola pengundian kaum India berbanding PRN 2023.
“Analisis anggaran kadar sokongan kaum kepada parti-parti politik yang bertanding
dijalankan menggunakan kaedah linear regression berdasarkan set data keputusan pengundian di semua pusat mengundi,” katanya.
Dalam pada itu katanya, keputusan PRK KKB menunjukkan penerusan trend pola pengundian berasaskan kaum yang diperhatikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dan PRN 2023 yang mana PN menguasai undi kaum Melayu manakala PH mengungguli undi kaum bukan Melayu, terutamanya kaum Cina.
Ujarnya, pola pengundian berasaskan kaum ini menjadi semakin ketara dalam PRK KKB 2024.
“Dalam kajian tinjauan pendapat pra PRK KKB yang kami jalankan pada 30 Mac hingga 7 April 2024, sebanyak 59 peratus responden yang merupakan pengundi berdaftar di Kuala Kubu Bharu menyatakan isu kos sara hidup, inflasi dan pembangunan ekonomi menjadi
kebimbangan utama mereka.
“Hanya dua peratus menyatakan mereka bimbang mengenai kedudukan hak kaum masing-masing. Namun begitu, keputusan PRK KKB menunjukkan pola pengundian lebih dipengaruhi oleh faktor identiti kaum berbanding faktor ekonomi.
“Ini bermaksud, identiti kaum terus menjadi faktor utama yang menentukan pilihan parti pengundi berbanding faktor kelas sosial, pendapatan dan gender,” jelasnya.
Katanya lagi, peningkatan undi Melayu kepada PN menunjukkan setakat ini PH masih gagal mengemukakan dasar-dasar yang boleh meyakinkan pengundi Melayu.
Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri mengenai kenaikan gaji penjawat awam, janji pelaksanaan projek-projek pembangunan dan penglibatan aktif UMNO berkempen untuk calon PH dari parti DAP tidak memberi kesan kepada sikap pengundi Melayu terhadap PH.
Pada masa yang sama, katanya, walaupun PN mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan pengundi Melayu, parti itu tidak menunjukkan pencapaian positif dalam meraih undi bukan Melayu.
“Sekiranya trend ini berterusan dan menjadi semakin ketara sehingga PRU16, PN berpotensi untuk terus menguasai kawasan-kawasan majoriti Melayu manakala PH pula akan mengungguli kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu seperti KKB.
“Menuju PRU 16, PN dan PH memerlukan strategi yang ampuh untuk meraih keyakinan pengundi merentasi kaum,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |