
PRK DUN Ayer Kuning: SPR keluar 116 kertas undi pos
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini telah mengeluarkan sebanyak 116 kertas undi pos kepada mereka yang berhak untuk mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Indera Ikmalrusin Ishak, pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik pegawai pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.
“Kertas undi pos yang telah dikeluarkan adalah terdiri daripada 113 undi pos bagi Kategori 1A, iaitu petugas pilihan raya dan anggota polis dan tiga undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang menetap di luar negara),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Indera turut mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya mengisi borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan betul, sebelum membuat penandaan pada kertas undi serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, iaitu pada 26 April ini
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” ujarnya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan selepas penyandang, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia dalam perlawanan bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu.
Allahyarham dilaporkan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan dengan bekas pemain dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning pada penggal pertama selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15, pada 2022.
SPR kemudian menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |