POLITIK

PRK DUN Ayer Kuning: Sentimen positif pengundi dorong keyakinan BN menang

TAPAH – Barisan Nasional (BN) meletakkan harapan tinggi untuk mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu ini berbekalkan dua kelebihan utama sentimen positif pengundi terhadap calon serta kemampuan menangkis dakwaan pembangkang secara berkesan.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memainkan peranan penting apabila berjaya menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang semasa persidangan DUN Perak yang berlangsung dari 15 hingga 22 April serentak dengan tempoh kempen PRK.

“Sentimen rakyat sangat baik terhadap calon. Tambahan pula, Menteri Besar Perak berjaya menjawab pelbagai isu dimainkan pembangkang. Ini memperkukuh kredibiliti kerajaan negeri dan BN,” katanya selepas menyertai kempen calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir di Kampung Sungai Ranggas malam tadi.

Shamsul berkata, serangan pembangkang terhadap BN dalam kempen kali ini tidak berjaya memberi kesan ketara kepada sokongan pengundi, sekali gus menggagalkan usaha mereka untuk menggugat kedudukan parti itu.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan jentera kempen agar memberi tumpuan kepada strategi untuk memastikan kadar keluar mengundi tinggi kerana ia menjadi faktor penentu dalam memastikan kemenangan.

PRK Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan Dr Mohamad Yusri (BN), Abd Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button