
Presiden PAS sifatkan kemenangan politik lebih utama berbanding tunai haji, umrah
TAPAH – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam di Malaysia agar mengutamakan kemenangan politik berbanding keperluan menunaikan ibadah haji dan umrah.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini, malam tadi.
Abdul Hadi mendakwa, ketetapan itu dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Justeru, beliau menegaskan kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa seiring firman Allah SWT yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
“Inilah orang AMANAH tak baca, golongan yang melompat (daripada PAS), (ahli) UMNO tidak baca (sirah Rasulullah). Mudah saja ikut DAP kerana kejahilan.
“Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin.
“Di Malaysia, orang Melayu adalah majoritinya Islam. Mereka berhak memimpin, bukan bermakna kita menafikan hak bukan Islam.
“Bukan Islam dibenarkan berada dalam negara Islam dan menyertai kerajaan tetapi kuasa politik yang tinggi mesti (diterajui) orang Islam,” kata beliau memetik laporan BH Online.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden BERSATU, Datuk Ahmad Faizal Azumu; Penolong Setiausaha Agung II PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Yang Dipertua PAS negeri, Razman Zakaria.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |