BERITA SEMASAPOLITIK

Politik fitnah semakin parah, perlu dilawan dengan keberanian – Ramanan

SHAH ALAM – Politik berasaskan fitnah perlu dihentikan segera sebelum ia membawa kerosakan yang lebih besar kepada keharmonian rakyat dan kestabilan di negara ini, tegas Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Naib Presiden PKR itu berkata, gejala tersebut kini berada pada tahap yang amat membimbangkan dan perlu ditangani secara berani dan jujur oleh semua pihak.

“Jangan bisik-bisik sana sini. Kalau ada keberanian, tampil ke depan. Jangan reka cerita untuk burukkan negara atau individu kerana terlalu terdesak mahu mengejar kuasa.

“Berani kerana benar. Saya tidak takut. Saya seorang yang suka berterus-terang. Kita perlu bersatu melawan gejala fitnah yang semakin kronik dan berleluasa,” katanya.

Baca juga : Pemilihan PKR meraikan demokrasi: Bersatu dan bersama Anwar – Ramanan

Baca juga : Ramanan selar penyebaran kenyataan media palsu guna namanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Kepimpinan Keadilan Selangor di Shah Alam, hari ini.

Jelas Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hak untuk bersuara adalah sebahagian daripada sistem demokrasi, namun ia tidak sepatutnya disalah guna dengan cara memesongkan fakta demi kepentingan politik.

“Ahli parti perlu mara ke depan untuk memperkasakan parti dan jangan fikir mengenai apa yang sudah berlalu kerana kestabilan politik cukup penting untuk negara.

“Parti ini adalah parti kita, rumah kita. Marilah kita sama-sama mempertahankannya di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan turut menegaskan ahli PKR perlu terus mengukuhkan jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Presiden parti sering mengingatkan kepada akar umbi untuk mara ke depan untuk menyusun jentera parti. Justeru, kita perlu membina satu pasukan PKR yang kuat dan mantap untuk mengharungi cabaran PRU Ke-16,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button