
PN janji proses pemulihan sara hidup dipercepat – Muhyiddin
GOMBAK – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi tumpuan kepada aspek pemulihan ekonomi khususnya isu berkaitan kos sara hidup sekiranya dipilih menjadi kerajaan di enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sokongan kepada parti (PN) yang ditunjukkan rakyat pada ketika ini memberi gambaran yang jelas bahawa rakyat tidak lagi yakin kepada Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib mereka.
“Kita akan mulakan kerja, saya lihat ramai penyokong dan pendokong kita hadir pada pagi ini menunjukkan semangat yang berkobar-kobar.
“Saya harap ini akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan di semua 6 negeri yang terlibat PRN. Kita doakan calon kita ini akan terpilih menjadi ‘yang berhormat’ dan enam negeri ini akan membentuk kerajaan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu hari ini.
Gabungan parti PN diwakili oleh Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali (Bersatu) yang bertanding di kerusi N.18 Hulu Kelang, Muhammad Hanif Jamaluddin (Pas) di kerusi N.16 Sungai Tua dan Muhammad Hilman Idham (Bersatu) di kerusi N.17 Gombak Setia.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, sekiranya PN diberikan kemenangan, beliau akan mengotakan janji kepada seluruh pengundi untuk membentuk sebuah negeri yang adil, saksama dan efektif seperti yang tertulis dalam manifesto PN.
“Soal pemulihan ekonomi akan dipercepatkan supaya peluang-peluang pekerjaan lebih banyak ditawarkan, lebih banyak kediaman untuk golongan miskin dibina dan sebagainya.
“Kita juga akan cepat bertindak dalam menangani masalah dan isu yang dihadapi rakyat terutama isu kenaikan kos harga barang, inflasi, masalah pekerjaaan, pendapatan dan hal-hal kehidupan.
“Ini semuanya terkandung dalam manisfesto yang akan dilancarkan di semua 6 buah negeri,” katanya.
Sementara itu beliau berkeyakinan penuh terhadap barisan calon PN pada PRN kali ini untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat.
“Saya yakin dan percaya, berdasarkan pengalaman kita, calon yang kita letak di sini ada pengalaan agama, profesional, korporat. Inilah tawaran untuk pikul amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






