PM nafi dakwaan ART Malaysia-AS kompromi kemerdekaan negara
GYEONGJU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) seolah-olah mengorbankan kemerdekaan negara, sebaliknya menegaskan kritikan tersebut berasaskan maklumat tidak tepat.
Beliau berkata, dakwaan itu yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak wajar diambil serius.
“Biarlah Tun Mahathir itu. Kenapa ganggu dia? Kalau dia marah, dia marah terus apa pun, jadi biarlah. Saya tak fikir kita patut serius dengan pandangan dia kerana dia itu bergantung kepada taklimat yang diberikan.
“Takkan dia nak teliti semua secara terperinci, mencerakin, menelusuri kandungan itu. Tidak,” kata Anwar kepada media seperti dilaporkan Buletin TV3 selepas hari pertama Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Gyeongju, Korea Selatan.
Beliau mengulas kenyataan dua bekas Perdana Menteri berhubung perjanjian perdagangan bersama AS itu.
Tun Mahathir sebelum ini mendakwa Malaysia mengorbankan kemerdekaan dengan membenarkan AS mengenakan kehendaknya melalui perjanjian itu, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan ART mengandungi “jerangkap samar” atau “bom jangka” yang boleh memudaratkan negara pada masa hadapan.
Anwar menegaskan bahawa rundingan perdagangan antarabangsa termasuk dengan China, Jepun, dan Korea Selatan sememangnya memerlukan timbang tara.
“Kalau betul kita hanya beri monopoli sepenuhnya kepada AS, bagaimana boleh kita tangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara China?
“Dan bagaimana hari ini kita boleh bincang dengan JS Link, dengan Lynas, berkenaan nadir bumi oleh syarikat Korea Selatan?” soal beliau.
Beliau menambah, semua negara yang berunding dengan AS turut terlibat dalam rundingan mengenai tarif, termasuk kuasa besar seperti China.
“Dalam mana-mana perundingan ada tolak ansur, apatah lagi pelaburan dia besar, hubungan dia besar. Tapi kita jaga maruah kita,” ujarnya.
Anwar turut menekankan kepentingan diplomasi matang dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam pelaburan global, sambil menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat adalah hasil timbang tara dan strategi untuk kepentingan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






