PLO lulus penubuhan jawatan Naib Presiden, buka laluan pengganti Abbas
RAMALLAH – Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) meluluskan penubuhan jawatan Naib Presiden dalam satu langkah bersejarah yang dilihat sebagai usaha menyediakan pelapis kepada Presiden Palestin, Mahmud Abbas.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pusat PLO selepas bertahun-tahun desakan daripada kuasa-kuasa asing yang menuntut pembaharuan dalam struktur organisasi Palestin.
“Satu undian telah diadakan untuk menubuhkan jawatan Naib Presiden,” kata ahli Majlis Pusat PLO, Rizq Namoura memetik laporan BH online.
Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui hampir sebulat suara.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, turut mengesahkan keputusan tersebut.
Penganalisis politik Palestin, Aref Jaffal berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan untuk peralihan kuasa memandangkan Mahmud Abbas kini berusia 89 tahun dan telah memegang jawatan sejak 2005.
“Sistem politik Palestin kini sudah lapuk. Jadi saya percaya langkah ini adalah sebahagian usaha menyusun semula kepimpinan dan menyediakan pengganti kepada Abbas,” katanya yang juga Pengarah Pusat Pemantauan Pilihan Raya Al-Marsad ketika dihubungi AFP.
Terdahulu, Mahmud Abbas pernah menyatakan hasrat mewujudkan jawatan itu semasa sidang kemuncak di Kaherah pada Mac lalu, yang membincangkan masa depan Gaza pascaperang.
Negara-negara Arab dan Barat yang menyokong Pihak Berkuasa Palestin (PA) turut dilaporkan mahu melihat peranan lebih besar dimainkan oleh PA dalam pentadbiran Gaza selepas konflik dengan Israel berakhir.
Abbas sebelum ini dilantik sebagai Presiden PA selepas kematian Yasser Arafat pada 2004 dan kemudiannya memenangi pilihan raya pada 2006.
Namun, tiada pilihan raya Presiden diadakan sejak itu.
Sebagai rekod, PLO ditubuhkan pada 1964 dan diberi mandat untuk mewakili rakyat Palestin dalam perjanjian antarabangsa, manakala PA bertanggungjawab terhadap pentadbiran di kawasan Palestin yang diduduki, khususnya di Tebing Barat.
PLO merupakan organisasi payung yang merangkumi beberapa puak politik Palestin kecuali kumpulan pejuang seperti Hamas dan Jihad Islam, yang kini sedang terlibat dalam konflik bersenjata dengan Israel di Gaza.
Sekiranya Abbas meletak jawatan atau meninggal dunia, Naib Presiden yang bakal dilantik dijangka mengambil alih sebagai ketua sementara PLO dan juga Negara Palestin, yang kini diiktiraf lebih 150 negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






