
PKR Sabah seru rakyat Sabah diberi kemudahan undi pos jika PRN dilaksanakan
KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menggesa rakyat Sabah yang berada di luar negeri berkenaan diberi kemudahan undi pos bagi mereka melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan dalam masa terdekat, ramai rakyat Sabah akan menghadapi kesukaran untuk pulang menunaikan tanggungjawab berikutan kos penerbangan yang tinggi dan kekangan logistik.
Mustapha berkata, penggunaan undi pos pernah dilaksanakan ke atas rakyat Malaysia yang menetap di Singapura dan selatan Thailand dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, dan langkah ini membuktikan sistem undi pos boleh diperluaskan demi memastikan akses yang lebih adil kepada semua pengundi.
Beliau berkata, setakat Disember 2024, Sabah mempunyai 1.69 juta pengundi berdaftar, dengan lebih 55 peratus terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun, dan lebih ramai dijangka layak mengundi berikutan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik.
“Walau bagaimanapun, ramai yang mungkin terpaksa melepaskan hak mereka untuk mengundi kerana kos perjalanan yang membebankan terutamanya ribuan mahasiswa Sabah yang sedang menuntut di universiti dan kolej di seluruh negara.
“…disebabkan jadual akademik yang padat serta beban kewangan yang tinggi, ramai dalam kalangan mereka tidak mampu untuk pulang ke Sabah semata-mata untuk mengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang menetap di luar negeri dalam PRN Sabah.
“Langkah ini akan memastikan setiap rakyat Sabah yang layak dapat menunaikan hak mereka tanpa halangan kewangan atau logistik,” katanya lagi.
Selain undi pos, Mustapha turut mencadangkan SPR meneroka kaedah pengundian lain yang lebih mudah diakses oleh rakyat Sabah yang berada di luar negeri, antaranya undi atas talian dan mewujudkan pusat-pusat pengundian strategik di negeri lain seperti yang dilaksanakan pada Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) yang lalu di mana mereka membuka enam pusat pengundian di seluruh Malaysia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |