
PKR dibenarkan rayu keputusan pengurangan jumlah bon Zuraida
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan permohonan PKR untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah bon bekas naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Nallini Pathmanathan dalam prosiding secara dalam talian selepas mendengar hujahan daripada peguam kedua-dua pihak.
Turut bersidang adalah Hakim Nordin Hassan dan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera.
Mahkamah Persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan satu daripada lima persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh PKR bagi menentukan sama ada mereka berhak untuk merayu.
Persoalan tersebut melibatkan pertimbangan sama ada mahkamah boleh mengetepikan hujah berkenaan nilai yang diterima oleh pihak tertentu dalam kontrak serta menentukan pampasan yang wajar dalam kes ini.
Rayuan tersebut akan didengar pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Dalam kes ini, PKR diwakili oleh peguam Ranjit Singh, manakala Zuraida diwakili oleh peguam Azhar Azizan Harun.
Pada 2020, PKR mengemukakan saman terhadap Zuraida, mendakwa beliau melanggar perjanjian kontrak dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Langkah Sheraton pada Februari tahun itu.
Menurut syarat bon ditetapkan, Zuraida diwajibkan membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya beliau meletak jawatan dari parti itu untuk menyertai parti politik lain atau bertindak sebagai calon bebas.
Zuraida bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bon tersebut bertentangan dengan hak perlembagaannya untuk kebebasan berpersatuan.
Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Zuraida bertanggungjawab dan memerintahkan beliau membayar RM10 juta seperti yang dinyatakan dalam perjanjian bon.
Memetik laporan FMT, bagaimanapun, pada 11 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim See Mee Chun mengesahkan liabiliti Zuraida, tetapi mengurangkan jumlah pampasan kepada RM100,000.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |