BERITA SEMASAPOLITIK

PH Selangor buat laporan polis dakwa ADUN pembangkang fitnah PM

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang didakwa memuat naik hantaran berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial.

Naib Pengerusi PH Selangor, Azli Yusof berkata, hantaran tersebut mendakwa Perdana Menteri menyokong aktiviti yang menderhakai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya fitnah ini dan menyeru pihak berkuasa khususnya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melakukan siasatan forensik ke atas akaun media sosial individu terbabit bagi mengenal pasti dalang sebenar.

“Lebih mengecewakan, fitnah itu muncul sehari selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap cubaan membunuh karakter yang semakin berleluasa,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Azli turut berkata, tindakan seumpama itu boleh menyebabkan budaya fitnah dan adu domba dalam masyarakat semakin berleluasa.

“PH menyeru rakyat menyuburkan budaya Rahmah dan bekerjasama membina negara. Fitnah dan provokasi hanya akan memporak-perandakan negara,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan pemimpin politik perlu memastikan sebarang kenyataan atau maklumat yang disebar berdasarkan fakta sahih.

“Kami juga akan memastikan laporan polis dibuat di setiap kawasan dan negeri bukan sahaja oleh PH tetapi juga parti AMANAH,” tambahnya.

Terdahulu, laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Biro Mobilisasi Amanah Selangor, Abdul Muhaimin Abu Bakar yang mendakwa terlihat tangkap layar hantaran berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri di beberapa kumpulan perbualan WhatsApp dan media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan berkenaan dan menyatakan siasatan akan dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button